Lantas terus bersiap untuk mengerjakan kewajipan pagi dan terus bersedia untuk ke tempat kerja yang semestinya menjanjikan satu pengalaman baru dan keseronokan yang tidak terhingga. Setelah mengenakan persiapan paling indah nan segak yang telah disediakan dari semalam, sepatu hitam berkilat berjenama Bally dikenakan untuk melengkapkan gaya berlagak-berlagak.
Tanpa bertangguh, jentera segak Suzuki Hayabusa GSX1300XR dihidupkan. Sekali sekala dipulas minyak tanpa sebab konkrit, mana tahu jiran-jiran yang masih tidur bisa bangun menyertaiku untuk menghirup udara segar bercampur bau minyak enjin mahal yang kusajikan kepada meraka di pagi yang hening ini.
Lantas bergerak ke kamar kerja melalui jalanraya yang lengang, dek kerana waktu kerja yang diselaraskan penguatkuasa mengikut kesesuaian trafik, tiada istilah jalan sesak didalam kamus hidupku. Meredah jalan tar yang rata dan luas, hal keselamatan tidak perlu dipertikaikan lagi kerana itu ceritera sebelum merdeka. Ini 2015, kereta sudah mampu terbang!
Sambil meredah jalanraya, sesama pemandu tidak lekang menghamparkan senyuman, tidak kira kecil atau besar. Siaran di radio penuh dengan motivasi pagi yang segar dan lagu-lagu dakwah tanpa sebarang iklan yang menjengkelkan, mahupun menjadikan agama sebagai lapik modal. Ya, diatas motorsikal pun pemandu mampu mendengar siaran radio, membuatkan pemandu kekal fokus sehingga ke destinasi.
Sekali sekala melambai-lambai petugas stesen minyak untuk memberikan teh/kopi percuma untuk pelanggan yang singgah. "Ah, sebentar sahaja," bisik hati kecilku. Lalu direnggut teh o yang disediakan gadis-gadis genit di stesen minyak itu sambil menjeling manja. "Nak suruh beli minyak la tu, huh!". Sedang molek, lampu minyakku menyala. Ah, apa nak dikisahkan, RM1.00/liter pun hendak berkira? Strategi gadis-gadis genit itu berjaya. Cis.
"Nak isi berapa tuan?"
"RM10."
"Hari ini kami ada promosi, tuan bayar RM5, kami bagi percuma full tank. Pemilik stesen buat sedekah jariah hari ni."
"Sedang molek!"
"Terima kasih tuan, datang lagi!" ujar engineer pam tersebut, kerana itu yang tertulis di tag namanya. "Maslan , Pump Engineer"
Perjalanan langsung diteruskan lagi sehingga ke destinasi.
Sesampainya di perkarangan kerja, CEO sudahpun menunggu dengan tangan terbuka.
"Celaka apa pulak dia nak bagi kat aku hari ni?" Ujarku dalam hati.
"Hai Fiq, disebabkan prestasi report you semalam, I nak bagi pingat dekat you sebagai tanda penghargaan. You punya meja saya sudah letak itu satu assistant."
Dapat assistant beb.
Lalu perjalanan dari parking ke pejabat yang hanya sekangkang kera menjadi sejauh 10km disebabkan ketereksaitedan mempunyai assistant.
Sesampai di daun pintu pejabat, terlihat dari jauh satu sosok putih terduduk manja di atas mejaku.
Shape yang begitu menggiurkan, dengan trend yang up to date. Idaman setiap senior engineer, walaupun di mulutnya mengatakan tidak, jauh disudut hati, tidak mungkin dikatakan tidak pada sosok itu jika diberikan percuma.
Ipad Tab 26s putih. Your reliable assistant. Aku bagi nama Cotton sebab putih macam kapas.
Dengan berlagaknya dibawa masuk Cotton ke dalam perusahaan. Suasana riang menyelubungi keseluruhan lantai tatkala pintu dibuka selepas tangan diimbas. Sekuriti tercanggih haruslah padan dengan perusahaan yang canggih. Tiada istilah operator digunakan, semuanya engineer. Hanya duduk duduk saja di meja sambil melihat produk dihasilkan oleh robot-robot jumud yang menurut perintah.
Soal gaji tidak pernah menjadi masalah untuk engineer-engineer ini, malahan frasa 'union' tidak ada dalam kamus perusahaan, kerana pentadbirannya yang kemas menyebabkan tiada hak yang perlu dituntut. Satu famili bahagia. Katakan saja apa dimahukan - takaful premier dengan perlindungan 4juta setiap seorang, bonus 12 bulan minimum, makan pakai disediakan. Barulah kena dengan produk yang dihasilkan- susu minda genius!
Sesampainya saja di plant, hanya berborak mengenai kebaikan pemimpin dan berbincang mengenai sejarah islam yang agung. Tidak lupa mengambil pengajaran dari sejarah Aristotle dan Plato. Plant berjalan sendiri, tidak apa yang perlu dirisaukan. Yang hanya perlu difikirkan, hanya negara mana yang perlu dilawati pada hujung minggu.
Paperwork? Itu zaman penjajahan British. Ini 2015!
Eh, kenapa azan subuh lagi sekali ni?
Tidak, da 5:30pagi.
Aku da lambat!
Celaka punya mimpi.
No comments:
Post a Comment